UMNO Seputeh Terus Komited, Bersatu Hati Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air

KUALA LUMPUR, 27 Mei – UMNO Bahagian Seputeh terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO Cawangan di bahagian terbabit atas kejayaan menganjurkan Persidangan Tahunan masing-masing dengan penuh disiplin sepanjang tempoh mesyuarat terbabit.

“Semangat dan iltizam kalian adalah nadi kepada keteguhan UMNO Seputeh yang tidak pernah luntur,” ujar beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu beliau telah mengadakan mesyuarat bahagian yang membincangkan pelbagai perkara untuk dilaksana termasuk penganjuran program Ibadah Korban sempena Aidiladha 1446H dan persiapan menjelang Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 Jun ini.

Ujarnya, mesyuarat bahagian Seputehbakal dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang dianggap sebagai satu penghormatan besar kepada seluruh ahli UMNO Seputeh.

Turut dirancang katanya adalah penganjuran Kenduri Rakyat Seputeh yang akan diadakan serentak sebagai usaha mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam komuniti.

Dalam masa yang sama Razlan menyeru seluruh jentera UMNO Seputeh agar bersiap siaga dan memberikan komitmen terbaik dalam memastikan kelancaran kedua-dua agenda tersebut.

“UMNO Seputeh kekal komited, bersatu hati dan terus mara ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79