Mohamed Khaled Santuni Masyarakat Felcra Sungai Ara, Sampaikan Sumbangan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Felcra Sungai Ara pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, majlis tersebut juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di samping memahami keadaan masyarakat setempat.

“Berada di Dewan Masyarakat Sg. Ara (Demasra) Felcra Sg. Ara bagi Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 50 penerima golongan memerlukan di sini pada Ahad.

“Majlis ini bukan semata-mata untuk menyampaikan bantuan, tetapi yang lebih penting lagi adalah bagi menyantuni, mengeratkan hubungan silaturahim dan memahami keadaan yang dialami oleh masyarakat setempat.

“Walaupun kawasan ini terletak di pinggir Parlimen Kota Tinggi, namun ia tidak sesekali dipinggirkan. Kehadiran secara berkala oleh wakil-wakil rakyat ke sini adalah demi memastikan kawasan ini turut menerima manfaat yang setara agar tidak wujudnya jurang dan keciciran,” kata Menteri Pertahanan itu lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar masyarakat di kawasan tersebut akan terus memupuk nilai kasih sayang agar komuniti terus kuat dan dapat mengecap pembangunan.

“Terima kasih kepada Ketua Cawangan, Salim yang telah mengutarakan isu dan cabaran dihadapi oleh masyarakat. Antaranya soal rumah generasi kedua dan keperluan menaik taraf keadaan dewan.

“Saya telah menyarankan beberapa tindakan yang perlu diberikan perhatian dan kerjasama daripada semua pihak. Saya percaya, segala cabaran dan isu yang dihadapi ini akan dapat ditangani jika ia dilakukan bersama-sama.

“Diharap agar masyarakat di sini akan terus memupuk nilai kasih sayang dalam komuniti supaya komunitinya menjadi kuat dan kawasan ini terus membangun. Jadikanlah ia sebagai nilai yang perlu dikekal dan dipertahankan agar jati diri dan keperibadian orang Melayu tidak akan ditelan zaman, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79