Jalaluddin Turun Padang Santuni Mangsa Ribut Felda Lui Barat

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berbesar hati turun padang melawat mangsa ribut yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Lui Barat.

Beliau memaklumkan seramai 25 mangsa ditempatkan di PPS yang melibatkan 12 orang dewasa dan 13 kanak-kanak, termasuk tiga warga emas selepas kediaman mereka di Felda Lui Barat dilanda ribut kuat selama beberapa jam yang telah mengakibatkan sebanyak 90 buah rumah rosak dikeseluruhan struktur.

“Jawatankuasa Bencana Daerah telah membuka sebuah PPS bagi menempatkan para mangsa yang terjejas.

“Diharap semua dapat sabar dan beri sedikit masa untuk kita teliti dan isi keperluan asas yang diperlukan.

“Insya-Allah kita akan bantu sehabis baik terhadap keperluan kecemasan untuk semua mangsa,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa bencana daerah Jempol atas tindakan pantas mengikut prosedur operasi standard (SOP) bencana yang digerakkan selepas berlakunya bencana.

Antara lain penghargaan turut diberikan kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, pasukan pejabat daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan serta sukarelawan yang membantu memudahkan urusan mangsa.

Sementara itu selepas selesai menziarahi mangsa, beliau turut sama turun padang ke Felda Lui Barat bagi melihat sendiri keadaan rumah yang terkesan akibat bencana ini.

“Tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.

“Namun titipan doa tetap mengiringi semua mangsa. Usaha segera bagi memenuhi setiap keperluan asas bencana juga telahpun digerakkan.

“Jangkaan saya selepas empat hari, mangsa ini sudah boleh pulang ke rumah masing-masing daripada PPS insya-Allah. Mudahan mangsa terus tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79