Skuad YPM: Kerajaan Negeri Pahang Sentiasa Komited Perkasa Generasi Muda
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkasa generasi muda melalui pelbagai platform strategik, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan Majlis Pelancaran SKUAD Yayasan Pelajaran MARA (SKUAD YPM) telah berlangsung pada Ahad.
“Gegak gempita Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dengan sorakan dan laungan semangat lebih 1,500 anak-anak Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dari seluruh negeri Pahang yang berhimpun sempena Majlis Pelancaran SKUAD Yayasan Pelajaran MARA (SKUAD YPM) Peringkat Kebangsaan 2025, yang telah dilancarkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkasakan generasi muda melalui pelbagai platform strategik, demi melahirkan barisan kepimpinan masa hadapan yang berwibawa, berilmu dan berdaya saing.
“Pelancaran SKUAD YPM pada peringkat kebangsaan ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting golongan belia, malah mencerminkan iltizam semua pihak khususnya YPM dalam membentuk generasi muda berakhlak mulia, berwawasan dan memiliki daya kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 untuk menjayakan Kem A-Plus YPM.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan YPM, khususnya kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA, serta Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Pengerusi YPM atas usaha berterusan, komitmen tinggi dalam menganjurkan program pembinaan jati diri belia secara konsisten dan berimpak.
“Sebagai manifestasi sokongan padu kerajaan negeri terhadap pembangunan generasi muda, Kerajaan Negeri Pahang berbesar hati menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 bagi menjayakan Kem A-Plus YPM yang merupakan platform penting dalam pembentukan SKUAD YPM,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan tiada anak muda tercicir.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus berganding bahu bersama agensi-agensi seperti MARA dan YPM bagi memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada arus pembangunan dan pendidikan.
“Semoga segala usaha ini sentiasa diberkati oleh Allah SWT dalam melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang, demi kemajuan negeri Pahang dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online