Kehadiran Luar Biasa Mesyuarat Cawangan, Bukti UMNO Kembali Ke Hati Rakyat Labuan
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kebangkitan dan semangat luar biasa yang telah dizahirkan oleh para ahli UMNO serta masyarakat sepanjang persidangan tahunan UMNO cawangan di seluruh Labuan.
Ujar Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kehadiran yang amat menggalakkan ini adalah bukti jelas bahawa UMNO telah mula kembali ke hati rakyat Labuan.
“Insya-Allah, semangat dan kebangkitan ini akan terus kita kobarkan. Obor perjuangan menuntut semula maruah UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bumi Labuan akan terus kita nyalakan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.
“UMNO lahir dari perut rakyat – dan itu adalah tanda jelas bahawa UMNO akan terus bersama rakyat, memperjuangkan untung nasib mereka di seluruh negara,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Seterusnya, Mohd Rafi mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli UMNO di cawangan-cawangan Patau-Patau 2, Patau-Patau 1, Rancha-Rancha Darat, Rancha-Rancha Laut, dan akhir sekali di Sungai Lada yang telah berjaya menganjurkan mesyuarat cawangan masing-masing dengan jayanya.
“Terima kasih atas sokongan padu semua. Insya-Allah, kita akan bertemu dalam Persidangan UMNO Bahagian Labuan pada 28 dan 29 Jun 2025 nanti.
“Hidup UMNO! Hidup Barisan Nasional!,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE