Perkasakan KULN, Tapak Semaian Bakat Kepimpinan Masa Depan UMNO Dan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) yang terdiri daripada anak-anak Malaysia yang sedang menimba ilmu di pelbagai pelusuk dunia perlu diperkasakan semula.

Ujar Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, KULN adalah medan strategik bagi melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja celik dengan ilmu global, malah kuat jati diri kebangsaan.

“Sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya melihat bahawa KULN ini perlu diperkasakan semula sebagai medan strategik untuk mencungkil, membentuk dan melahirkan pemimpin muda yang bukan hanya celik dengan ilmu global, tetapi juga kuat akar kebangsaan dan jati diri perjuangannya.

“Kelab ini bukan sekadar organisasi perantauan, tetapi tapak semaian bagi bakat kepimpinan masa depan UMNO dan negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Dalam perkongsian di platform media sosialnya itu, Dr Asyaf berpeluang berdiskusi secara dalam talian bersama pelajar-pelajar dari KULN malam tadi.

“Mendengar sendiri pandangan, persoalan dan aspirasi mereka mengingatkan saya bahawa anak-anak muda inilah yang bakal mewarnai masa depan negara.

“Mereka hadir dengan pemikiran segar, idealisme tinggi dan keinginan yang tulus untuk menyumbang semula kepada tanah air,” katanya.

Dr Asyraf juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada sesi tersebut dalam berharap ia sebagai permulaan kepada usaha yang lebih besar demi perjuangan agama, bangsa dan negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79