Isu Pajakan Tanah: Cadang Wujudkan Jawatankuasa Khas Mudahkan Urusan Permohonan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani mencadangkan agar diwujudkan Jawatankuasa Khas di bawah Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan permohonan pembaharuan pajakan.

Katanya ia penting bagi memastikan pelaksanaannya melalui garis panduan yang jelas dan bantuan teknikal kepada pemilik tanah kampung tradisi.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga dapat membantu komuniti ini menjalankan proses permohonan secara berkumpulan dan teratur,” katanya.

Ramlee berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi perbahasan dibawa beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Katanya, suara dibawa beliau itu mewakili keresahan sekumpulan besar penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan lama di kawasan Bandaraya Johor Bahru, khususnya yang tinggal di atas tanah yang status pajakannya kini semakin hampir tamat tempoh.

“Kita akui bahawa kampung dan taman lama ini, antaranya di kawasan Kempas iaitu di Taman Kobena, Desa Rahmat dan Taman Perumahan MARA, adalah antara warisan penempatan Melayu yang telah wujud sekian lama dahulu sebelum Johor Bahru bertukar status bertaraf Bandaraya.

“Mereka inilah penduduk asal yang telah menyumbang kepada pembangunan awal Johor Bahru dan terus setia menghuni tanah pusaka mereka,” ujar beliau.

Menurut beliau kebanyakan mereka beranggapan proses membaharui pajakan adalah rumit daripada sudut proses serta kos yang tinggi.

“Ramai dalam kalangan mereka bukan tidak mahu memperbaharui pajakan, tetapi terbeban dengan kekangan kewangan dan tidak jelas dengan proses kerja yang perlu dilalui.

“Soalnya di sini bukanlah mengenai perubahan status hak milik tanah, tetapi lebih kepada bagaimana kerajaan negeri dapat memainkan peranan dari segi sokongan proses dan mekanisme bantuan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79