KDA FC Terkeluar Dari Liga Super, Kegagalan Sanusi Dan Exco Negeri Yang Memalukan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 25 Mei – UMNO Kedah melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor serta barisan Exco dalam menangani krisis yang melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sehingga menyebabkan pasukan tersebut terkeluar dari saingan Liga Super musim 2025/26.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menerusi satu kenyataan berkata, perkara KDA FC, yang selama ini menjadi lambang kebanggaan dan semangat rakyat Kedah, kini terpaksa menarik diri daripada Liga Super akibat kegagalan memenuhi syarat pelesenan kelab yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

“Situasi ini mencerminkan kelemahan ketara dalam kepimpinan kerajaan negeri yang gagal menyediakan sokongan dan penyelesaian kepada masalah kewangan yang membelenggu pasukan.

“Sebaliknya, pentadbiran Sanusi lebih cenderung bermain politik dan menuding jari, tanpa mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan institusi bola sepak yang telah lama menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Kedah.

“Kegagalan ini bukan sahaja menjejaskan imej negeri, tetapi juga memberi kesan negatif kepada pembangunan bakat muda tempatan dan ekonomi setempat, termasuk peniaga kecil yang bergantung kepada aktiviti perlawanan bola sepak,”katanya.

Ujarnya, UMNO Kedah menggesa agar kerajaan negeri mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini dan segera merangka pelan pemulihan yang komprehensif untuk memastikan masa depan bola sepak Kedah tidak terus terjejas.

Untuk rekod, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ini kerana gagal memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR) menjadi punca utama lesen kebangsaan mereka ditolak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79