Tolak Propaganda Burukkan UMNO/BN Sabah, Teruskan Khidmat Demi Rakyat – Jamal Nerubi
PAPAR, 24 Mei – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan terpengaruh dengan pelbagai propaganda serta tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan, sebaliknya akan terus berkhidmat untuk rakyat sebagaimana mandat yang telah diberikan.
Menurut beliau, kebelakangan ini pelbagai pihak cuba melemparkan persepsi negatif terhadap UMNO/BN dengan tujuan untuk menggugat kepercayaan rakyat, namun parti tetap teguh dengan prinsip perjuangan yang berteraskan kepentingan rakyat dan negara.
“Macam-macam hal diperkatakan mengenai UMNO dan BN. Kita tahu ini semua adalah usaha pihak lawan untuk mengelirukan rakyat dan melemahkan semangat pejuang-pejuang parti. Namun kita tidak akan tunduk dengan tekanan atau permainan persepsi seperti ini,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau telah turun padang di Kampung Kawang, di sini bagi meninjau keadaan penduduk setempat dan melaksanakan agenda Kerajaan Perpaduan memastikan rakyat mendapat keselesaan.
“Hasil tinjauan di sini kami menjadi jambatan kepada rakyat dengan menawarkan kediaman selesa melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).”
Beliau berkata, UMNO/BN sentiasa bekerja keras di lapangan, mendengar keluh kesah rakyat serta menyediakan bantuan dan penyelesaian yang sewajarnya mengikut kemampuan.
“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita buktikan kerja. Rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya tahu bercakap,” tegas beliau.
Dalam masa yang sama, Jamal turut menggesa ahli-ahli UMNO dan jentera BN di semua peringkat agar tidak melatah dengan serangan politik lawan, sebaliknya terus memperkukuh perpaduan dalaman serta mempertingkatkan lagi usaha mendekati masyarakat.
“Fokus kita adalah kepada rakyat. Jangan kita leka dengan permainan lawan. Teruskan usaha mendengar suara rakyat, menyantuni mereka, dan menyampaikan maklumat yang tepat agar rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu dan fitnah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak mudah termakan dengan dakyah politik yang bersifat memburukkan tanpa asas yang kukuh.
“Selagi kita konsisten dengan perjuangan demi rakyat, saya yakin UMNO dan BN akan terus relevan dan menjadi pilihan utama rakyat, bukan hanya di Papar, tetapi di seluruh negara,” ujar beliau lagi. – UMNO Online