Jeffery Nor Turun Padang Cari Solusi Isu Air, Keutamaan Demi Rakyat
PUTATAN, 23 Mei – Isu bekalan air di Sabah masih terus berlarutan biarpun pelbagai pihak telah membuat aduan, cadangan dan pelbagai pendekatan namun sehingga kini masih meruncing.
Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed telah beberapa kali bertindak turun padang sendiri termasuk terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Penyelarasan Masalah Air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Keramat, di sini.
Katanya, kehadiran beliau sejak awal pagi hari ini bukan sekadar simbolik, malah membuktikan komitmen dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan hari ini menunjukkan kesepakatan dan kesungguhan semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah bekalan air yang telah lama membelenggu penduduk di PPR Sri Keramat,” katanya.
Jelasnya, mesyuarat kali ini turut disertai oleh wakil-wakil teknikal penting termasuk Jurutera dan Penolong Jurutera Majlis Daerah Penampang (MDPTN), serta pasukan teknikal mereka, di samping wakil Majlis Penduduk Kondo Alam Pesona, Majlis Penduduk PPR Sri Keramat dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Menurut Jeffery Nor, langkah-langkah penyelesaian akan disegerakan dengan kerjasama teknikal yang erat antara pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkaitan, agar impak segera dapat dirasai oleh rakyat.
“Perbincangan bersama komuniti itu membuka ruang kerjasama ke arah membina masyarakat yang lebih progresif dan berdikari.
“Bagi saya, penyelesaian masalah air bukan hanya soal teknikal semata-mata. Ia soal hak asas rakyat. Kita tidak boleh terus menunggu tetapi akan sentiasa mencari solusi bersama pihak berkaitan demi menjamin kualiti hidup rakyat” kata beliau.
Jeffery Nor turut menegaskan bahawa usaha menyelesaikan isu air ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh dalam usaha memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat di kawasan Putatan, khususnya dalam aspek infrastruktur asas seperti bekalan air bersih.
“Dengan iltizam dan pendekatan yang proaktif ini, rakyat berharap kepada satu perubahan yang lebih baik dalam masa terdekat, bukan sekadar janji, tetapi tindakan yang nyata,” katanya lagi. – UMNO Online