PRK: Jangan Jadikan Agama Sebagai Modal Berpolitik – Isam
TAPAH, 23 April – Pas disifatkan sebagai parti yang seringkali memainkan elemen agama pada setiap kempen pilihan raya baik Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) demi meraih kepentingan politik, kata Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Menurut beliau, mereka seharusnya perlu matang ketika berpolitik bagi menggelakkan berlakunya sebarang ketidakfahaman dalam kalangan umat Islam cetusan daripada kenyataan diberikan kepimpinan parti itu.
“Mana-mana pilihan raya mahupun PRK, itulah isu yang akan sentiasa dibawa oleh Pas. Bagi saya cukup-cukuplah… gunakanlah kaedah yang lebih baik, yang lebih matang untuk memastikan umat Islam itu tidak berbelah-bahagi ataupun terpesong.
“Kita umat Islam seharusnya berpegang teguh kepada rukun Islam, rukun iman… janganlah gunakan agama untuk manfaat politik. Janganlah kata bahawa tidak penting ataupun sebaliknya yang penting. Bagi saya, tak ada yang lebih hebat kecuali kita berpegang teguh kepada ajaran agama Islam.
“Kita sebenarnya janganlah terlalu taasub dengan parti masing-masing sehinggakan agama itu dijadikan modal setiap PRK, PRU,” katanya.
Mohd Isam berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga.
Mengulas lanjut berkenaan kempen saat akhir pada PRK ini beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata gerak kerja sebaiknya telah dilakukan melibatkan jentera dari negeri itu di PDM Batu Masjid dan juga Batu Tiga.
Katanya, kerjasama erat dijalin dalam kalangan jentera juga memudahkan kempen mendekati rakyat bagi menyampaikan aspirasi parti.
“Setakat ini jentera kita yang bertugas untuk membantu jentera-jentera tempatan di sini berjalan dengan baik.
“Saya mendapat maklumat, hubungan amat akrab dan kita berkeyakinan penuh jentera-jentera kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” ujar beliau.
Pada Sabtu, media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.
Susulan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan.
JAKIM juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan menyentuh hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri pada PRK ini berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online