PRK Ayer Kuning: Orang Asli Nyata Komitmen Untuk Sokong BN
TAPAH, 20 April – Komuniti Orang Asli telah menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir memaklumkan beliau telah bertemu komuniti Orang Asli di beberapa buah kampung pada Sabtu.
“Alhamdulilah saya telah pun berkempen di kawasan penempatan Orang Asli dan sambutannya begitu menggalakkan. Saya telah pergi ke kawasan Kampung Orang Asli Sungai Geroyang dan Kampung Orang Asli Sungai Merbau.
“Alhamdulilah, sambutan yang kita terima sangat menggalakkan dan komitmen mereka untuk bersama kita sangat-sangat baik. Seperti biasa mereka membangkitkan masalah-masalah infra yang lebih selesa untuk mereka dan ini sudah pasti akan menjadi keutamaan kepada kita untuk menyelesaikannya jika saya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Ayer Kuning ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi konsisten untuk memilih BN agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan pada masa akan datang
“Sebenarnya saya secara peribadi berasa gembira dan sentiasa positif untuk mendepani kempen-kempen yang mendatang. Mudah-mudahan kita ada kekuatan untuk meneruskan kempen pada minggu kedua ini Insya-Allah. Doakan yang baik-baik.
“Saya harap para pengundi konsisten untuk mengundi dan memenangkan BN bagi mengekalkan parti ini di DUN Ayer Kuning,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman