PRK: Kekalkan Penguasaan BN, Kerajaan Perpaduan Di Ayer Kuning – Manndzri
TAPAH, 19 April – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Ini kerana katanya, calon ditampilkan oleh BN adalah yang terbaik dan sudah semestinya ia dapat menyambung kesinambungan perkhidmatan parti kepada rakyat tanpa ‘pilih bulu’.
“Calon BN ini… nombor satu dia adalah Dr. Dahlah Dr, ustaz pulak. Dari segi calon ini, kita tengok beliau ada banyak kelebihan dan berpengalaman kerana mendapat pelbagai pendedahan terutamanya dari segi pendidikan. Jika kita lihat daripada biodata, beliau adalah yang terbaik daripada calon-calon dipertandingkan pada PRK DUN Ayer Kuning ini.
“Keduanya adalah daripada segi berkerajaan untuk rakyat di DUN Ayer Kuning ini. Dahulukan, allahyarham Ishsam Shahruddin telah buat yang terbaik. Saya pernah sampai di sebuah madrasah yang diasaskan oleh pengasah Pas kawasan Tapah, tetapi kata mudirnya, allahyarham Ishsam selalu datang ‘lepak’ di situ.
“Maksudnya, orang UMNO/BN ini sifatnya ialah nak berkawan. Selepas pilihan raya, dia buat macam saya juga di Tenggara. Semua orang, tidak kisah siapa atau dari parti mana… itulah rakyat yang kita perlu bela dan bertanggungjawab. Calon kita, Dr Ustaz Yusri Bakir turut menjanjikan perkara sama untuk meneruskan legasi dan khidmat dalam masa beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata, adalah penting untuk mengekalkan kawasan DUN Ayer Kuning di bawah pemerintahan kerajaan yang selari dengan bahagian dan pusat.
“Adalah mustahak untuk kita bersama-sama dengan kerajaan. Kerajaan Perpaduan yang pertama sebenarnya wujud di Negeri Perak ini maka saya rasa rakyat di DUN Ayer Kuning ini daripada sejarahnya pun tidak pernah memilih selain daripada ‘dacing’.
“Jadi, saya nak menyeru rakyat di DUN Ayer Kuning untuk pilih calon UMNO/BN. Insya-Allah sahih akan jadi kerajaan. Ia akan memudahkan sebab kita selari dengan Kerajaan Negeri dan pusat yang dipimpin oleh Kerajaan Perpaduan.
“Dengan itu, banyak masalah dalam konteks keperluan ataupun isu yang nak disuarakan… boleh diselesaikan. Berbanding kalau kita nak pilih pembangkang yang ‘meroyan’ tak tentu hala, kita sebagai rakyat di kawasan yang akan merana di kemudian hari,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar masyarakat di DUN Ayer Kuning membuat pilihan bijak dengan memilih calon BN demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan Di Negeri Perak.
“Sebagai contoh, kita ada Datuk Saravanan sebagai Ahli Parlimen Tapah… Kalau nak minta lampu jalan, jalan tar sikit-sikit memang kita boleh bantu. Ahli Parlimen ada peruntukan dia. Misalnya tidak ada, mereka boleh minta kepada Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri Besar untuk bantu keperluan rakyat di sini.
“Bayangkan kalau tiba-tiba DUN Ayer Kuning ini tidak selari dengan parlimennya… saya dapat bayangkan betapa sengsara azabnya nanti. Saya bukan nak menakut-nakutkan rakyat tetapi yang baiknya adalah supaya DUN dan Parlimen itu selari.
“Dengan itu, lebih banyak perkara baik akan boleh dilaksanakan. Jadi, saya ingin menyeru para pengundi untuk undi ‘dacing’, pilih BN, sokong pasukan Perpaduan… Undilah calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman