Orang Asli Di Sungai Kroh Ikrar Beri Sokongan Kepada BN – Rozabil

TAPAH, 19 April – Siri kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diteruskan pada hari ketujuh dengan pelbagai pendekatan dilakukan bagi menyampaikan aspirasi Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk menyantuni masyarakat Orang Asli yang bertempat di RKT Sungai Kroh Dalam oleh Perhubungan UMNO Negeri Perlis dan UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang berperanan sebagai negeri dan bahagian angkat.

Pada kunjungan tersebut Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman memaklumkan beliau optimis dengan sokongan Orang Asli terhadap calon diketengah BN, Dr Ustaz Yusri Bakir.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata ini kerana hampir keseluruhan daripada orang Asli yang ditemui beliau ketika ziarah kasih itu merupakan penyokong tegar BN.

“Saya difahamkan yang Orang Asli di Sungai Kroh Dalam ini memang penyokong tegar BN daripada dulu dan melihat kepada suasana di dalam kampung ini, saya percaya mereka masih menjadi penyokong tegar BN.

“Malah salah satu keluarga yang saya jumpa tadi, dia berkata yang sama ada menang ataupun kalah, dia masih mengundi BN. Jadi saya rasa itu merupakan satu manifestasi daripada pengundi-pengundi Orang Asli di sini dalam memberi sokongan calon.

“Insya-Allah pada 26 April ini, saya percaya yang pengundi Orang Asli di dalam PDM Sungai Kroh Dalam seramai 233 orang majoritinya akan memberi undi kepada BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online usai kempen menziarahi tersebut.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Mengulas lanjut Rozabil berkata gerak kerja secara berstrategi dilakukan bagi memastikan seramai mungkin daripada penduduk Orang Asli di kawasan ini disantuni oleh jentera parti.

“Sebentar tadi kita ziarah lebih daripada 20 buah rumah dan di kampung ini ada lebih kurang 47 buah rumah. Hari ini rombongan bersama dan sebahagian rumah telahpun disantuni oleh UMNO bahagian Kuala Kangsar dan kita habiskan rumah-rumah yang belum dikunjungi,” ujar beliau.

Ditanya mengenai keseluruhan sokongan dalam kalangan pengundi sekitar PDM Sungai Kroh, beliau berkata kemaskini status kecenderungan terhadap BN telah digerakkan pada minggu awal kempen.

“Reaksi agak baik kepada calon BN dan kita ada lebih kurang seminggu lagi untuk kemaskini dan menyantuni pengundi-pengundi hitam dan kelabu.

“Dan insya-Allah saya rasa sempat untuk kita santuni ke semua pengundi-pengundi hitam dan kelabu.

“Mudah-mudahan kita dapat ambil balik PDM Sungai Kroh daripada pihak pembangkang kerana seperti mana yang kita tahu dalam pilihan raya yang lepas kita kalah kurang lebih empat hingga undi jadi kita nak pastikan kali ini menang semula di PDMini,” katanya lagi.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit