PRK: Undi BN, Pastikan Kesinambungan Pembangunan DUN Ayer Kuning – Dr Ustaz Yusri Bakir
TAPAH, 18 April – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diseru untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini untuk memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan.
Calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir berkata, pendidikan kepada anak muda juga menjadi aspek tumpuan parti mengikut dimensi terkini terutamanya bidang kemahiran melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini… saya melihat aspek keperluan kehidupan akan menjadi titik utama dalam membangunkan sebuah masyarakat. Salah satunya adalah pendidikan.
“Pendidikan akan menjadi keutamaan untuk kita selain daripada pembangunan dan teras yang saya sebutkan sebelum ini seperti kemudahan asas, infrasukan dan sebagainya. Ia meliputi keperluan-keperluan yang dikehendaki dalam sebuah masyarakat moden.
“Kita perlu memberi ruang yang lebih baik dan luas kepada para pelajar khususnya dalam dimensi terkini iaitu berkaitan dengan kemahiran. Seperti TVET misalnya menjadi keperluan dan keutamaan pada masa kini. Kita melihat itu perlu untuk diperluaskan khususnya kepada generasi muda,” katanya.
Ujarnya, BN akan sentiasa memperjuangkan dan mengusahakan agar semua keperluan serta kemudahan dapat disediakan kepada rakyat DUN Ayer Kuning untuk menjalani hidup yang lebih selesa.
“Itu semua keperluan dan kita akan teruskan usaha untuk mengadakan kemudahan kepada rakyat… yang sememangnya diperlukan dalam membentuk kehidupan yang selesa. Kita akan sentiasa memperjuangkan dan mengusahakan perkara tersebut.
“Kita akan menerangkan aspirasi dan apa yang kita bawa. Kita ada visi dan misi yang dijadikan panduan untuk memahamkan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi yang berada di luar kawasan khususnya anak muda pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.
“Untuk pengundi muda, kita akan bergerak bersama dengan komuniti pemuda dari pelbagai parti politik supaya dapat menarik minat mereka hadir bagi menunaikan kewajipan. Kita akan bersama-sama memastikan pembangunan dapat dilaksanakan khususnya untuk anak muda.
“Banyak perkara sebenarnya yang boleh kita buat. Tetapi, saya berharap mereka yang berada di luar ini pulang menunaikan tanggungjawab. Itu adalah sumbangan mereka kepada BN untuk memastikan kesinambungan pembangunan boleh dibuat kepada kawasan DUN Ayer Kuning,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman