Wanita UMNO Terus Fokus Ziarah Kasih, Santuni Pengundi – Rosni
TAPAH, 19 April – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar memaklumkan beliau yakin dengan sokongan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata ini kerana ia berdasarkan reaksi ditunjukkan pengundi ketika menerima kehadiran jentera Wanita UMNO pada ziarah yang dilakukan.
“Daripada perkiraan kami bilangan yang menyokong Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih baik sebab kita pergi dari rumah ke rumah dan lihat bagaimana bahasa badan pengundi kerana mereka rasa sangat teruja dengan kehadiran jentera wanita.
“Perkara ini yang kita dapat rasakan kerana kerja untuk mengenal bahasa badan setiap pengundi ini memang wanita sudah mahir,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut, Rosni berkata bantuan daripada bahagian dan negeri angkat membantu gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi meluaskan kempen menemui seramai mungkin pengundi.
“Tambah pula bahagian dan negeri angkat yang melaksana kerja dengan fokus jadi tiada masalah untuk kemenangan berganda di DUN Ayer Kuning ini,” ujar
Selain dari itu, beliau juga mengharapkan pengundi luar memanfaatkan PRK ini untuk pulang ke Ayer Kuning menunaikan tanggungjawab mereka.
“Wanita UMNO/BN dan kepimpinan memang mengharapkan sangat agar pengundi putih untuk pulang mengundi agar BN meraih kemenangan lebih besar untuk PRK sekali ini,” ujar beliau.
Untuk rekod BN pada PRK ini mengetengahkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Ustaz Yusri Bakir, 54 tahun sebagai calon.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.– UMNO Online