Kempen PRK: Utamakan Kerja Rumah Ke Rumah… Adakan Ziarah Kasih – Ahmad Maslan
TAPAH, 18 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru agar semua pusat daerah mengundi (PDM) mengutamakan kerja rumah ke rumah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kerja rumah ke rumah tersebut boleh dijalankan melalui program Ziarah Kasih dan Ziarah Mesra.
“Saya ingin menyeru agar semua PDM bukan hanya Changkat Petai… kita pergi ke sebanyak rumah yang boleh.
“Ada dua jenis ziarah yang boleh dilaksanakan. Ziarah Kasih adalah untuk bertemu dengan penduduk kurang bernasib baik, sakit, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya seperti yang dilaksanakan oleh saya sebentar tadi.
“Ziarah Mesra pula adalah untuk kita bertemu dengan orang berpengaruh di kawasan ini seperti ketua kampung, ketua cawangan, ketua belia, pesara dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, amalan Ziarah Mesra dan Ziarah Kasih ini perlu dipertingkatkan memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki lebih kurang seminggu lagi.
“Ziarah Mesra dan Ziarah Kasih ini perlu dipertingkatkan dalam lebih kurang seminggu lagi tempoh berkempen. Kadang-kadang kita nak buat banyak program pun menyusahkan juga.
“Oleh itu, kita pergi bertemu dengan para pengundi. Bukan mereka datang bertemu dengan kita. Macam Ziarah Mesra yang berlangsung tadi, kita berkesempatan untuk bertemu dengan seorang pesara tentera yang berpengaruh… ada 20 orang anak muda di bawah jagaan beliau.
“Saya difahamkan pada Ahad ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan turun ke Ayer Kuning, bertemu dengan para pengundi menggunakan kaedah yang sama,” katanya lagi.
Menurutnya, terdapat juga beberapa orang pemimpin lain yang mengiring beliau sepanjang program Ziarah Kasih dan Ziarah Mesra dijalankan di samping menjaga kawasan PDM Changkat Petai.
“Peti undi Negeri Johor untuk PDM Changkat Petai ini turut dijaga oleh Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Piai, Md Israq Abdullah.
“Juga dibantu oleh Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ada iaitu daripada Tanjung Piai, Mohd Noor Fairus Mat Drus dan Kulai, Mohd Kamal Ulum Morsin. Turut bersama kita, Exco Wanita UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman