PRK Ayer Kuning: Abdul Mutalif Yakin Masyarakat India Sokong BN

TAPAH, 18 April – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yakin bahawa masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya berkata, lebih 100 orang pengundi telah hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di pusat daerah mengundi (PDM) Tapah Road Utara pada Khamis.

“Kita dah mula turun berkempen mulai 12 April selepas selepas Penamaan Calon. Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor telah memberi amanat berdasarkan saranan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya ‘engagement’ itu bergerak setiap hari.

“Sebagai contoh pada malam ini, sekitar 100 orang masyarakat India datang. Kalau kita lihat, di sini ada 400 keluarga pengundi India. Berdasarkan rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, kita kalah 59 undi sahaja.

“Jadi mereka berjanji kepada saya bahawa pada kali ini seluruh keluarga akan mengundi BN termasuklah cucu cicit mereka. Saya percaya dengan janji mereka ini sebab masyarakat India akan ‘very careful’ apabila berkata-kata,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir akan dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning selepas tamat musim pilihan raya ini.

“Mereka (masyarakat India) ini akan kotakan apa yang telah janjikan. Saya juga melihat perjumpaan pada malam ini cukup memberangsangkan dan luar biasa.

“Saya yakin dan percaya pada 26 April ini, Dr Ustaz Yusri Bakir akan dinobatkan ADUN Ayer Kuning untuk membantu membina kesinambung khidmat bakti allahyarham Ishsam Shahruddin, Insya-Allah,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah ADUN Tronoh, Steven Tiw Tee Siang, Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim dan para jentera UMNO Negeri Selangor serta tempatan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.

Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit