Berada Dalam Kerajaan Suatu Rahmat, Ruang Perkukuh UMNO – Mohamad
TAPAH, 18 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan sebagai suatu rahmat.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ini kerana meskipun BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen namun masih diberi peluang bersama kerajaan berbanding parti lain yang memenangi lebih banyak
kerusi.
“Berada dalam kerajaan satu rahmat Allah untuk kita teruskan perjuangan.
“Maknanya Allah sayang dengan kita lagi, orang yang 73 kerusi tidak ada dalam kerajaan tapi kita 30 kerusi ada dalam kerajaan.
“Pandang daripada segi itu untuk kita teruskan baki perjuangan supaya kita bangkit semula,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ramah mesra bersama pengundi di Batu Masjid, malam tadi bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu menambah masih ada dalam kalangan rakyat yang masih tidak memahami fakta sebenar penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Lebih memburukkan lagi keadaan katanya, pembangkang memanfaatkan kekeliruan itu dengan menimbulkan perspektif tidak benar membabitkan kerajaan yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 itu.
“Kena terangkan sebab orang pening kepala, cakap banyak kali UMNODap nanti termakan pula terang kepada orang kita tak pernah bersama dengan Dap.
“Adakah kita bergabung? Bila masa kita berjanji? Kita hendak mengurus negara tetapi kerana semua orang tak cukup kerusi daripada tidak berkerajaan lebih baik berkerajaan.
“Dia hendak kita keluar konon jadi hero, hari ini pagi kita keluar petang Pas masuk kerajaan saya jamin,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir pada PRK ini berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online