Dr Ustaz Yusri Hargai Keringat, Kerja Keras Jentera Parti

TAPAH, 17 April – Calon Barisan Nasional (BN) Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir merakamkan penghargaan kepada kesemua jentera parti yang bertungkus-lumus pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) ini yang memasuki hari keenam.

Beliau yang juga merupakan calon tempatan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, ia memberikan suntikan semangat kepada dirinya untuk melaksanakan gerak kerja terbaik bagi menghadapi tempoh berkempen.

“Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua jentera yang telah bekerja keras sehingga 26 April bagi memastikan kemenangan BN pada PRK ini.

“Keringat yang mengalir semoga Allah berikan pembalasan yang baik,” katanya.

Dr Ustaz Yusri berkata demikian ketika pada Majlis Usahawan Hebat Dengan Kuasa Tiktok Live di Sungai Kroh, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi HAWA Ekonomi, Datuk Seri Dr Zurainah Musa; Pengerusi HAWA Perak, Rosmaizar Mat Ali serta kepimpinan lain dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia, KNKV Group.

Dalam pada itu Dr Ustaz Yusri turut sama menyeru pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Seperti yang diamanahkan untuk membawa obor BN pada PRK ini saya dengan rendah hati memohon kepada semua pengundi untuk sama-sama keluar mengundi.

“Jika Allah takdirkan saya sebagai ADUN insya-Allah kita akan teruskan perancangan yang telah digariskan Allahyarham Ishsam Shahruddin yang telah berpuluh-puluh kali datang ke sini bagi meninjau permasalahan.

“Beliau berkhidmat selama dua tahun tiga bulan dan kita ada dua tahun tujuh bulan untuk menyambung perancangan yang akan kita akan laksanakan sebelum mengharungi pilihan raya seterusnya,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan saingan tiga penjuru antara Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah meninggal akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit