Bendera Parti Banjiri DUN Ayer Kuning, Semarak Semangat Demokrasi

TAPAH, 19 April – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kini memasuki hari kelapan dengan persekitan kawasan DUN terbabit mula berubah wajah. Jalan-jalan utama, simpang strategik, dan kawasan kampung dipenuhi dengan bendera warna biru dan merah yang mewakili parti-parti yang bertanding, mencerminkan semangat demokrasi yang hangat dan meriah.

Bendera dari parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memenuhi kawasan sekitar Ayer Kuning sempena PPRK yang berlangsung di kawasan tersebut.

Warna-warni bendera yang memeriahkan suasana PRK tersebut sudah semestinya dapat melonjakkan semangat para jentera untuk bekerja sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

Di samping itu, terdapat juga sepanduk yang memaparkan wajah para calon untuk menarik undi penduduk di Ayer Kuning bagi menentukan kemenangan parti masing-masing.

BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.

Yusri juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

Pemandangan kibaran bendera parti-parti yang bertanding ini bukan sahaja mencerminkan persaingan sihat antara, malah turut menyemarakkan lagi semangat para jentera pilihan raya yang terus giat bekerja siang malam sepanjang tempoh kempen, menjelang hari pengundian yang dinanti-nantikan.

PRK DUN Ayer Kuning bukan sahaja medan pertembungan ideologi, tetapi juga bukti kematangan demokrasi di peringkat akar umbi. Semangat yang membara ini pastinya akan terus menghidupkan denyut nadi politik tempatan sepanjang musim pilihan raya ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit