‘Pengarah PRK Import Dari Kedah, PN Perak Tiada Pemimpin Kredibel?’ – Sollehin
TAPAH, 17 April – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menempelak pembangkang, Perikatan Nasional (PN) Perak apabila melantik ketua pilihan raya parti itu yang ‘diimport’ dari Kedah.
Katanya, ia sekaligus memperlihatkan tiada dalam kalangan kepimpinan PN mempunyai kredibiliti sehingga melantik pemimpin negeri lain mengemudi PRK ini.
“Pengarah pilihan raya daripada PN sudahlah ‘diimport’ dari Kedah. Saya hendak tanya kepada PN Perak, sudah tidak ada orangkah sampai terpaksa ambil pengarah pilihan raya dari Kedah?
“Sedangkan pengarah pilihan raya BN adalah menteri besar Perak yang berasal dari negeri ini tapi PN tidak ada orang Perak hendak mengetuai terpaksa bawa dari Kedah.
“Akhirnya dia buat budaya yang sangat kasar, fitnah, maki. Kalau tengok rakaman ceramah hanyalah berkisah tentang makian dan juga sentimen fitnah yang tidak berkesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banir.
Mengulas lanjut Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu juga menyifatkan PN tidak mempunyai isu yang konkrit untuk menyerang kerajaan negeri.
Kata beliau, PN seringkali membawa perkara lapuk seperti UMNODap yang seperti mengakui bahawa tiada isu tempatan dan negeri yang boleh ditunggang mereka pada PRK ini.
“Saya boleh katakan prestasi Kerajaan Negeri Perak juga baik. Tidak ada satu isu yang dibangkitkan tentang pentadbiran kerajaan negeri jadi mereka hanya memainkan setimen UMNODap, tuduh, fitnah dan sebagainya.
“Bagi saya, kalau rakyat di Ayer Kuning ini nak buat perbandingan, tengoklah gerak kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri dan juga gerak kerja parti yang dibuat di sini.
“UMNO tak pernah buat budaya menghina orang, membuat fitnah, mengeji dan mengutuk siapa-siapa,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua lagi saingan iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, merupakan bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh dari 2007.
Beliau juga Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah dan mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online