TPM Laksana Perbincangan Khas Dengan Kementerian Digital, Memacu Masa Depan Ekonomi Gig Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan kedudukan pekerja gig di Malaysia melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM).

Ujarnya yang juga Presiden UMNO, langkah ini juga dilaksana dengan mengadakan perbincangan khas bersama Kementerian Digital yang dihadiri menterinya, Gobind Singh Deo; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli; serta Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

“Dalam sesi ini, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) telah membentangkan kertas kerja mengenai Ekosistem Ekonomi Perkongsian atau Sharing Economy di Malaysia yang kini mencecah RM14.8 bilion nilai pasaran dan melibatkan lebih 1.4 juta pekerja,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid menyatakan bahawa penubuhan SEGIM bertujuan memastikan ekosistem ekonomi gig dikawal selia dengan baik, di samping melindungi kebajikan semua pihak dalam rantaian ekonomi tersebut, termasuk penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja, dan pengguna.

“Dengan perkembangan pesat sektor gig, adalah kritikal untuk kita memastikan hak serta perlindungan sosial pekerja gig seperti mereka dalam industri e-hailing dan p-hailing diberi perhatian sewajarnya,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa pekerja gig memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. “Semoga usaha ini diberkati dan dipermudahkan. Insya-Allah,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit