Perjuangan UMNO Tidak Bergantung Kepada Satu Nama, Tetapi Semangat Kolektif Ahlinya
KUALA LUMPUR, 18 Dis – Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin perpandangan UMNO sebagai sebuah parti yang telah lama menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara, tidak akan terkesan dengan tindakan satu individu.
Kata Exco Pemuda UMNO itu, prinsip parti adalah jelas iaitu perjuangan UMNO tidak bergantung kepada satu nama, tetapi kepada semangat kolektif ahli-ahlinya yang berdedikasi kepada agama, bangsa dan negara.
“Seorang pergi, seribu lagi akan menyertai kita. UMNO kekal sebagai parti yang mempunyai akar umbi yang kuat, disokong oleh ahli-ahli yang setia dan ikhlas dalam perjuangan.
“Ini adalah peluang untuk kita memberi ruang kepada lebih ramai pemimpin muda dan berpotensi untuk naik dan membawa pembaharuan kepada parti.
“Dalam setiap cabaran, ada peluang untuk kita memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan dengan individu yang lebih bersemangat dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Shahrul Nasrun berkata demikian ketika mengulas mengenai ura-ura seorang pimpinan parti di peringkat pusat ditawarkan menyertai parti lain dalam Kerajaan Perpaduan dan beliau menghormati pilihan pemimpin tersebut dan ia merupakan hak individu.
Tambah Shahrul Nasrun lagi, UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin malah parti ini kaya dengan bakat dan pengalaman dari pelbagai lapisan.
“Perubahan ini membuka pintu kepada generasi baharu yang mampu memimpin dengan lebih cemerlang dan berani.
“Keutamaan kita adalah terus fokus kepada agenda memperjuangkan hak rakyat, memartabatkan bangsa, dan memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik negara,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Shahrul Nasrin yakin tindakan pemimpin tersebut tidak akan menggugat kekuatan UMNO, malah ia akan menyuntik semangat baru dalam perjuangan parti.
“UMNO akan terus maju dengan kepimpinan baharu yang lebih berdaya tahan, berdedikasi, dan komited terhadap prinsip perjuangan yang telah kita bina selama ini.
“Perjuangan UMNO adalah untuk masa depan negara, bukan untuk satu individu,” ujarnya. – UMNO ONLINE