MITI Disaran Ada Dasar Jelas Untuk Pasarkan Produk Tempatan – Mohd Shahar
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) harus mempunyai dasar yang jelas untuk memasarkan produk-produk tempatan negara khususnya kereta buatan Malaysia.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata jika betul-betul penekanan ke arah itu mahu dilaksanakan ianya perlu memastikan eksport berkenaan berada di antara negara-negara yang lain.
“MITI harus mempunyai dasar yang jelas untuk eksport produk-produk tempatan kita, khususnya kereta buatan Malaysia… kerana Proton hanya dapat mengeluarkan 140,000 ke 150,000 setahun dan Produa pula dapat mengeluarkan hampir 310,000 setahun. Tetapi jumlah yang dieksport amat-amat kecil daripada jumlah yang saya nyatakan tadi. Kalau kita betul nak beri penekanan kepada industri tempatan, kita mesti memastikan eksport ini berada di antara negara-negara yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbasahan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau seterusnya menambah sekiranya hasrat untuk memperkasakan lagi eksport kenderaan tempatan, negara harus mempunyai keupayaan luar biasa.
“Kalau kita dapat memperkasakan sektor eksport kenderaan tempatan kita, kita mesti mempunyai keupayaan yang luar biasa. Hari ini timbul kenapa ‘lokal production’ dalam negara kita tidak mempunyai harga yang kompetitif.
“Bagaimana nak dapat kompetitif? Kerana ‘demand’ dalam negara amat kecil. Tetapi sekiranya kita dapat ‘extend our networking, our customer’ dekat negara-negara luar, sudah pasti kita mendapat ‘volume’ yang tinggi dan harga tersebut akan mendapat harga yang kompetitif seperti mana yang diharapkan,” ujarnya.- UMNO Online