Perkasakan Akta Ibukota Persekutuan Demi Pentadbiran Berteraskan Komuniti – Aliff Firdaus
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi berharap agar Akta Ibukota Persekutuan 1960 dapat diperhalusi dan diperkasakan untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada pentadbiran Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, akta ini penting supaya apa juga perubahan jangka masa panjang akan memberi kebaikan kepada masyarakat Wilayah Persekutuan dan fungsinya semestinya untuk menjadi penghubung yang dekat diantara rakyat dan DBKL.
Ujarnya, langkah ini akan membuka ruang kepada penglibatan lebih luas di peringkat akar umbi, sekaligus memperkasakan peranan masyarakat dalam proses pentadbiran.
“Saya harap Akta Ibukota Persekutuan 1960 diperhalusi dan diperkasakan bagi membolehkan Ahli Lembaga Penasihat DBKL dijadikan sama seperti Ahli Majlis di bandar – bandar lain di negara ini.
“Sebarang pindaan melibatkan akta itu wajar diteliti secara bersama oleh semua pihak dengan menekankan aspek kelompongan polisi dan dasar utama dalam hala tuju Wilayah Persekutuan.
“Paling penting dapat meningkatkan kecekapan yang progresif dengan pendekatan mesra berteraskan komuniti,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Mengulas lanjut, Aliff Firdaus yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segambut harap UMNO dan Kerajaan Perpaduan dapat memperhalusi akta ini bagi menjaga kepentingan orang-orang Melayu di bandar.
“UMNO mencadangkan agar diperhalusi Akta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Kerajaan Perpaduan yang menjaga kepentingan orang-orang Melayu di bandar ini agar suara parti ini didengar.
“Sekarang ini ada Majlis Perwakilan Penduduk dan fungsinya adalah hanya seperti mewakili penduduk untuk ‘check and balance’ berurusan dengan pihak agensi tersebut tetapi tidak sebagai ‘stake holder’ DBKL dan ini menyukarkan bagi rakyat di bawah untuk membawa suara mereka agar didengari oleh pihak DBKL
“MPP ini seharusnya melibatkan pemimpin UMNO di setiap bahagian kerana mereka tahu segala permasalahan yang dihadapi rakyat dan seterusnya MPP ini harus diperkasakan agar menjadi penghubung yang dekata diantara masyarakat dan DBKL.
“UMNO wajib diupayakan supaya ia terus dapat diperkasakan lagi dan menjadi suara ‘direct’ kepada Datuk Bandar mahu pun DBKL,” jelasnya.
Untuk rekod, Akta Ibukota Persekutuan 1960 atau biasa disebut Akta 190 telah diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU).
Akta ini pernah disemak dan dipinda bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang terkandung didalamnya selepas terbentuknya Wilayah Persekutuan. – UMNO Online