Pusat Khidmat Parlimen Beaufort Lancar Program Jelajah Prihatin Bantu Rakyat – Siti Aminah
BEAUFORT, 29 Okt – Dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya di kawasan Parlimen Beaufort, Pusat Khidmat Parlimen Beaufort dengan sokongan UMNO bahagian tempatan telah melancarkan Program Jelajah Prihatin 2024.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching pada Khamis lalu bertempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota Klias yang melibatkan seramai 220 orang golongan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan berupa bakul makanan dan juga wang tunai.
Pada hari berikutnya program ini diteruskan di PDM Melabau dengan menyantuni seramai 290 penerima.
“Kita akan gerakkan program ini bersama kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort ke seluruh PDM yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Klias dan Kuala Penyu bagi membantu golongan sasar yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program tersebut di PDM Kota Klias baru-baru ini.
Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, secara umumnya konsolidasi fisikal terus berlaku dalam Belanjawan 2025 dengan dasar ekonomi yang membantu kuasa beli rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Bantuan Awal Persekolahan.
“Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan Kerajaan Madani sentiasa mementingkan aspek disiplin kewangan dan dalam masa yang sama terus membela nasib rakyat secara saksama dan inklusif,” katanya.
Menurut Siti Aminah, langkah kerajaan dalam Belanjawan 2025 juga dilihat cuba mengimbangi keperluan rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup dengan menaikkan peruntukkan STR dan Sara kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion sebelumnya.
“Kerajaan terus memberikan bantuan tunai kepada rakyat seperti Sara dan STR, dengan menambah peruntukan berbanding tahun yang lalu.
“Ini kerana menyedari pertambahan jumlah penduduk dan cabaran kos sara hidup yang terus meningkat walaupun ekonomi negara semakin bertambah baik,” katanya.
Siti Aminah menambah, bagi mengimbangi keperluan dan cabaran kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan B40, yang semakin hari semakin mencabar tanggungjawab untuk membantu golongan ini tidak seharusnya disandarkan semata-mata kepada pihak kerajaan kerana penglibatan semua pihak termasuk pemimpin perlu berjalan seiring dengan usaha-usaha yang dilakukan.
“Memang ada sumbangan STR, bantuan awal persekolah namun bantuan ini berkala dan kemungkinan ada golongan tercicir ekoran tidak berdaftar dengan e-kasih,” katanya.
Sehubungan itu, Siti Aminah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Risda Semaian dan Landskap Sdn Bhd, berkata, Pusat Khidmat Parlimen Beaufort terpanggil melaksanakan program tersebut agar golongan yang benar-benar memerlukan dapat diberikan bantuan segara bagi meringankan beban yang mereka tanggung.
“Kita dipilih oleh rakyat maka adalah menjadi tanggunjawab kita kembali kepada rakyat melihat keperluan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaluddin Kadir; Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Taib; Ketua Wanita, Jurifah Saflie; Ketua Penerangan, Awang Damit Jion; Naib Ketua Pemuda, Nazrul Sofri dan Ketua Puteri, Munira Sarrie. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid