Pemuda UMNO Beaufort Fokus Program Pembangunan Belia

KUALA PENYU, 23 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort sentiasa memberi fokus ke arah pembangunan belia di samping penekanan dalam usaha untuk menyerlahkan bakat kepimpinan, memperkasakan ekonomi belia dan meningkatkan kemahiran serta nilai murni di kalangan golongan ini.

Ketuanya Ak. Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata pelbagai program telah dirangka bagi mendekati golongan ini antaranya kepimpinan, pendidikan, agama dan sukan.

“Dalam menjamin kemakmuran dan kemajuan negara agar sentiasa membangun secara holisitik, golongan ini amat diperlukan kerana mereka merupakan pewaris yang bakal mencorakkan negara dan menjadi pemimpin bagi menerajui negara pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ‘Subuh Mencari Redha Allah’ di Masjid Pekan Kuala Penyu, baru-baru ini.

Program yang diisi dengan solat subuh berjemaah, kuliah subuh dan senaman berjalan (brisk walk) itu dihadiri lebih dari 100 orang terdiri dari golongan belia, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Menurut Ak. Mohd Yazri, golongan belia merupakan aset yang amat berharga sekali gus menjadi tunggak dan kekuatan masa depan negara dan negeri.

“Maju dan mundurnya sesebuah negara itu adalah bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketokohan para belia.

“Mereka (golongan belia) ini perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul sehingga mereka menjadi insan-insan yang beriman, berilmu, beramal, dan mempunyai akhlak mulia kerana ia akan mengukuhkan jati diri dan menjadikan mereka belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ak. Mohd Yazri berkata, fokus utama kemajuan sesebuah negara bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur berasaskan pembangunan material semata-mata, tetapi perlu melibatkan pembentukan modal insan yang berkualiti melalui pendekatan menyeluruh terhadap amalan nilai murni yang mendasari aspek moraliti dan tingkah laku.

“Nilai murni bukan hanya melibatkan tingkah laku positif tetapi turut melibatkan peradaban manusia, tatasusila serta hubungan langsung dengan pencipta, manusia dan alam sekitar,” katanya.

Dalam hal ini Ak. Mohd Yazri berkata, Pemuda UMNO Bahagian Beaufort tidak akan meminggirkan program-program keagamaan sebagai platfrom membentuk nilai-nilai murni serta akhlak yang mulia selari dengan ajaran agama Islam.

“Pembentukan rohani, emosi, intelek dan jasmani perlu bersepadu dan seiring agar kehidupan para belia mampu berjalan dengan sempurna dan terbentuk akhlak belia rabbani,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.