Rakyat Sabah Perlu Cakna, Jangan Lagi Terpengaruh Janji Kosong Dan Retorik – Suhaimi

SANDAKAN, 9 Okt – Rakyat Negeri Sabah perlukan pembelaan dan mahukan kemajuan dalam kehidupan mereka sebagaimana pernah dikecapi semasa zaman Barisan Nasional (BN) dahulu.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menarik perhatian rakyat Sabah terhadap beberapa isu yang menunjukkan kegagalan dan kelemahan sehinggakan rakyat setempat tidak mendapat kemajuan.

“Melihat kepada kegagalan-kegagalan ini, rakyat Sabah perlu cakna agar tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong penuh retorik, dan bersedia menukar kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang bagi memastikan masa depan mereka lebih terbela” katanya.

Dalam hal ini beliau menggariskan empat faktor kegagalan yang berkait dengan pentadbiran pihak lawan dalam membawa kemajuan kepada Negeri Sabah.

“Faktor pertama iaitu pembangunan infrastruktur yang perlahan iaitu salah satu retorik mereka yang kononnya telah menyelesaikan banyak isu-isu infrastruktur sedangkan yang ada hari ini adalah legasi yang ditinggalkan kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Sedangkan realitinya, sehingga hari ini, banyak kawasan di Sabah terutamanya luar bandar masih ketinggalan dari segi pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, dan elektrik, malah, semakin teruk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkaitan hal ini.

Ujarnya, faktor kedua ialah kegagalan mengurangkan jurang pembangunan iaitu jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia masih ketara.

“Sabah kekal sebagai salah satu negeri yang paling ketinggalan dari segi kemudahan asas dan peluang ekonomi sehingga lapan daerah dikategorikan sebagai daerah termiskin.

“Namun demikian, malangnya apabila dengan bangganya Sabah diumum berjaya menghapuskan miskin tegar pada Ogos lalu.

“Tetapi pada kenyataan September 2024, diumumkan pula penambahan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memberi ruang kepada golongan miskin tegar. Apakah ini gambaran sebenarnya kemiskinan tegar sudah berjaya diselasaikan?” bidasnya.

Suhaimi juga mempersoalkan dua kenyataan yang berbeza dan tidak jelas sehingga menjejaskan kepercayaan pelabur dalam dan luar negara terhadap Negeri Sabah.

“Faktor ketiga ketidakstabilan politik dalaman yang mana kepimpinan yang ada gagal mewujudkan kestabilan politik yang diperlukan untuk kemajuan jangka panjang. Perpecahan dalam kalangan parti-parti komponen dan kegagalan menyatukan kepimpinan yang ada menunjukkan bahawa tidak ada fokus kepada agenda pembangunan yang komprehensif.

“Agenda lokal yang ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dengan penekanan kepada pemerkasaan parti lokal membohongi rakyat demi menjaga kepentingan jawatan serta kuasa semata-mata.”

Suhaimi berkata faktor keempat iaitu kegagalan memacu pembangunan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi Sabah hari ini masih bergerak sangat perlahan. Ini dibuktikan dari kenyataan Datuk Seri Masidi, Menteri Kewangan Sabah bahawa sehingga Oktober 2024 kutipan hasil Sabah rendah berbanding tahun lalu.

“Alasan yang diberikan adalah kerana kutipan hasil utama kerajaan bergantung kepada pengeluaran minyak mentah dan minyak sawit, sedangkan Sabah kaya dengan hasil-hasil lain untuk dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata sektor utama seperti pelancongan, perladangan, dan perikanan belum menunjukkan perkembangan ketara.

“Tambahan pula, pelaburan dari luar negeri tidak menunjukkan lonjakan yang diharapkan, sekali gus menghadkan potensi ekonomi Sabah.

“Apa terjadi dengan memorandum persefahaman (MoU) yang dilaungkan berbilion-bilion antaranya seperti projek bandar Pavilion Harbour City (RM2 bilion), Integrated Herbal Plantation dan Lok Kawi Resort City (RM7 bilion).

“Adakah MoU-MoU ini sekadar retorik yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat?”

Suhaimi berkata kegagalan-kegagalan ini hanya akan terus membebankan rakyat dan menghalang negeri ini daripada mencapai potensinya yang sebenar. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.