Wanita UMNO/BN Dalam ‘Zon Kuning’ Hadapi PRN Sabah Ke-17 – Noraini Idris
KEMABONG, 9 Okt – Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah kini berada dalam ‘zon kuning’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Wanita UMNO/BN Sabah, Senator Datuk Noraini Idris berkata, berbekalkan beberapa pendekatan, rancangan, penyusunan, pelaksanaan, kebajikan dan kesiapsiagaan jentera, menjadi teras utama bagi menghadapi PRN Sabah ke-17 yang kini di ambang pintu.
Katanya, Wanita UMNO/BN Sabah telah siap sedia memasuki medan pertempuran PRN berdasarkan momentum kemenangan BN dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan dan DUN Mahkota di Johor baru-baru ini.
“Bagi meneruskan momentum ini, kita perlu bersedia dan bekerja keras bagi memastikan matlamat BN untuk mencapai kemenangan dalam PRN akan datang tercapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN Parlimen Tenom di Dewan Sri Ontoros Kemabong, baru-baru ini.
Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan turut dihadiri oleh Setiausaha UMNO/BN Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO/BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimee Unggi; dan Ketua Wanita UMNO/BN Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan.
Noraini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Wanita BN Parlimen Tenom yang pertama di negeri ini melancarkan jentera JR dan berharap beberapa jentera JR akan turut dilancarkan di beberapa kawasan Parlimen lain selepas ini.
“Di peringkat Wanita UMNO/BN negeri, kita juga akan mengadakan siri jelajah ke bahagian-bahagian yang menjadi tumpuan dan program ini akan diadakan selewat-lewatnya penghujung bulan Oktober ini,” katanya.
Sementara itu, Noraini berharap peratusan calon wanita pada PRN-17 akan ditingkatkan kepada 30 peratus seperti dijanjikan kepimpinan sebelum ini.
“Kita berharap dalam PRN kali ini calon wanita dapat ditonjolkan sekurang-kurangnya tiga ke empat calon mewakili Wanita, langkah ini selaras dengan statistik peratus pengundi iaitu hampir 49 peratus adalah pengundi wanita di seluruh negara,” katanya.
Bagaimanapun, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang yakin kepimpinan UMNO/BN Sabah di bawah kepimpinan Bung Moktar akan melihat dan memberikan pertimbangan terhadap permintaan ini berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu calon yang disukai oleh rakyat dan boleh membawa kejayaan kepada BN.
“Kita akan sokong siapa sahaja calon yang mewakili BN, Wanita memenuhi kriteria ini dan kami bersetuju pandangan soal calon parti malah tidak akan memaksa rakyat menerima calon yang dicadangkan parti sebaliknya calon kita mestilah yang dikehendaki oleh rakyat dan boleh menang,” tambah Noraini.
Sehubungan itu Noraini meminta jentera Wanita agar jangan leka dengan tugas dan tanggungjawab.
Katanya, jentera Wanita mesti ada keyakinan bagi memastikan perjuangan UMNO/BN terus maju malah mesti ada kekuatan bersama-sama menjayakan agenda transformasi parti dan komitmen mendampingi rakyat secara berterusan.
“Dalam mengharungi cabaran semasa, Wanita perlu memperkukuh kerjasama dan lebih fokus terhadap tindakan selain berdisiplin dan berintegriti.
“Kesatuan perjuangan mesti ada. Komitmen dalam tugasan mesti dipupuk,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid