Negeri Pahang Tubuh CDA: Pastikan Keselamatan, Daya Tahan Hadapi Bencana – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Civil Defence Auxiliary (CDA) untuk memastikan keselamatan dan daya tahan masyarakat menghadapi bencana terjamin.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan pasukan pertama ditubuhkan di kalangan pejabat-pejabat kerajaan negeri di seluruh Malaysia.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan daya tahan masyarakat terhadap musibah bencana terjamin. Selaras dengan itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah menubuhkan pasukan CDA di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang.
“Penubuhan CDA SUK Pahang ini merupakan pasukan pertama ditubuhkan di kalangan pejabat-pejabat kerajaan negeri di seluruh Malaysia sesuai dengan slogan ‘Pahang First’.
“Objektif penubuhan pasukan ini antara lain adalah bagi memberi bantuan kepada rakyat di Negeri Pahang semasa berlaku musibah bencana serta membantu meringankan beban pasukan penyelamat yang ada dalam tugas-tugas menyelamat mangsa bencana,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pasukan tersebut turut diberikan latihan berkala untuk memastikan mereka berkemahiran dalam memberikan bantuan awal kepada mangsa.
“Pasukan ini juga turut berfungsi dalam memberi bantuan awal kepada sebarang kecemasan yang berlaku dalam premis kerajaan negeri.
“Seramai 80 orang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang telah diberi latihan oleh APM Pahang meliputi rawatan luka dan kepatahan, Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), teknik menyelamat, ikatan dan simpulan serta kawad kaki.
“Latihan secara berkala turut dirancang dalam memastikan anggota CDA SUK Pahang mempunyai kemahiran yang cukup dalam memberi bantuan kepada mangsa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pasukan CDA SUK Negeri Pahang akan terus berkembang dan menjadi contoh dalam aspek kesukarelawanan.
“Dalam pada itu, saya turut menggesa penubuhan CDA ini turut diperluas kepada agensi-agensi lain di bawah Kerajaan Negeri Pahang.
“Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atas penyampaian watikah Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) kepada saya dan Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) kepada Setiausaha Kerajaan Pahang.
“Saya berharap pasukan ini akan terus berkembang dan menjadi contoh kepada seluruh rakyat negeri ini dalam aspek kesukarelawan dan kemanusiaan,” katanya lagi. – UMNO Online