Azalina Berbesar Hati Terima Kunjungan KSN, Diskusi Agenda Reformasi Institusi Dan Perundangan
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati menerima kunjungan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di pejabatnya, semalam.
Berkongsi berkenaan pertemuan itu, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pelbagai isu disentuh dalam perbincangan tersebut terutama membabitkan agenda reformasi institusi dan perundangan.
“Saya telah menerima kunjungan hormat daripada Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara di pejabat saya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
“Dalam sesi tersebut kami telah bertukar-tukar pandangan dan berbincang pelbagai perkara berkaitan dengan agenda reformasi institusi dan perundangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook dan X.
Selain itu, katanya kunjungan tersebut turut sama membincangkan beberapa Rang Undang-Undang yang sedang dirangka dan akan dibentangkan di sesi Parlimen yang akan datang.
Turut sama dalam pertemuan tersebut Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Zamri Misman.
Terdahulu, Azalina turut sama menerima kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Teknologi Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin dan delegasi universiti tersebut.
Shamsul Azri yang baharu sahaja dilantik sebagai KSN pada 12 Ogos berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri. – UMNO Online