Majlis Ulama UMNO Bidas Hadi Awang, Tegaskan Kesucian Islam Kekal Terpelihara

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan bahawa Islam dalam keadaan bahaya di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, sebaliknya Islam pada ketika ini berada dalam keadaan baik dari semasa ke semasa berlandaskan kepada perkara-perkara yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap kali Pas berada dalam keadaan yang genting, dia akan bercakap bahawa Islam sekarang dalam bahaya, sebenarnya saya tak nampak Islam di Malaysia ini dalam keadaan itu.

“Sebenarnya apakah bahaya? Saya pun tak faham kerana di negara ini Perlembagaan memberi kedudukan yang kukuh kepada agama Islam dan kita juga mempunyai pelindung kepada agama Islam, pelindung yang kukuh iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Dusuki lagi, ia juga dapat dilihat apabila pentadbiran tertinggi sektor awam negara juga dijawat oleh orang Islam yang melaksanakan dasar-dasar penting negara.

Katanya ini jelas menunjukkan bahawa kemampuan orang Melayu/Islam yang kompeten dalam memegang organisasi penting seperti mana yang dilaksanakan kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) seawal pentadbirannya.

“Kementerian-kementerian boleh dikatakan hampir semua mempunyai bahagian agama, Jabatan Perdana Menteri sendiri ada bahagian agama yang khusus ada bahagian dakwah, penyelidikan, penyelarasan, pentadbiran agama.

“Di negeri-negeri kita boleh lihat ada majlis agama, jabatan agama, mahkamah syariah, bahagian zakat, wakaf dan sebagainya,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi malah negara juga memiliki Pusat Pencetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini.

“Manakala percetakan Al-Quran yang terbaik dan terbesar di seluruh dunia, malah kita tidak ambil dah Al-Quran daripada negara lain.

“Bahkan pentadbiran Islam di Malaysia ini diakui adalah yang terbaik,” katanya lagi.

Tambah beliau di tambah dengan kewujudan pusat-pusat pengajian tinggi Islam yang terbuka kepada pelbagai peringkat umur sebagai medan percambahan ilmu dalam melahirkan generasi cerdik pandai Islam sebagai aset negara pada masa hadapan.

“Pusat-pusat pengajian tinggi mesti ada fakulti Islam, sekurang-kurangnya jabatan Islam. Selain sudah ada Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia ada juga kolej-kolej Islam di setiap negeri.

“Ini menunjukkan bahawa Malaysia sangat hebat hanya orang yang mempunyai hati yang tak betul saja yang menganggap kita dalam bahaya,” katanya lagi.

Isu ini juga turut sama mendapat respon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawakerajaan tidak akan mengubah ketetapan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana didakwa oleh pembangkang.

Beliau malah menyifatkan, dakwaan itu bersifat tuduhan palsu untuk sengaja mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat supaya membenci kerajaan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.