Perpaduan Akan Bantu ASEAN Lebih Kompetitif Di Persada Global – Tengku Zafrul
VIENTIANE, 7 Okt – Malaysia menggariskan tiga strategi utama untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi ASEAN memandangkan pengembangan global dijangka menjadi lemah dalam keadaan inflasi yang tidak menentu, peningkatan ketegangan geopolitik dan juga pemecahan geoekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata strategi pertama adalah ASEAN meneroka sepenuhnya potensi perdagangan dengan ekonomi strategik dan sedang pesat membangun.
Beliau berkata, ini bagi mengurangkan kesan penurunan pertumbuhan, ekonomi tidak berkembang dan ketidakseimbangan di ekonomi tradisional.
“Kepelbagaian pasaran akan mengurangkan kesan kerapuhan permintaan global ke atas potensi pertumbuhan ASEAN.
“Saya amat percaya ASEAN berada pada kedudukan yang baik untuk mengelakkan impak geopolitik melalui ASEAN Way (pendekatan tersendiri ASEAN) serta prinsip berkecuali.
“Ini akan menjadi sumber kekuatan dalam dunia yang semakin terpolarisasi,” katanya semasa sesi intervensi Malaysia di Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24, di sini, hari ini,
Tengku Zafrul berkata, strategi kedua adalah untuk meningkatkan potensi sepenuhnya perdagangan sesama ASEAN bagi membangunkan kekuatan ekonomi rantau ini dan mengimbangi kelemahan ASEAN terhadap kesan kejutan global.
Beliau berkata blok 10 anggota itu perlu meneruskan usahanya untuk menghapuskan halangan perdagangan dan mengelakkan dasar penggantian import yang dalam tempoh jangka panjang, tidak memberi manfaat kepada ekonomi mahupun rakyat ASEAN.
“Kita mesti meneruskan tumpuan kita untuk meningkatkan kemudahan perdagangan dan menyelaras serta melengkapkan usaha kita dalam mengukuhkan perpaduan serantau kita.
“Saya menggesa rakan-rakan serantau agar menggandakan usaha kita untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf pada 2025 untuk memaksimumkan penggunaan berkesan kelebihan integrasi serantau,” katanya.
Tengku Zafrul berkata strategi ketiga untuk menjadikan ASEAN lebih berdaya tahan dan tangkas adalah dengan menumpukan kepada membangunkan mekanisme padu untuk menangani ketidaktentuan ekonomi, melabur dalam industri berorientasikan masa depan dan mengukuhkan kerjasama serantau.
Menurutnya, pasca 2025, ASEAN perlu berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam melaksanakan kemampanan dan tindak balas terhadap perubahan iklim, membina digital ASEAN yang kukuh, dan memastikan inisiatif yang terangkum, terutamanya bagi perusahaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan mengecilkan jurang pembangunan.
Tengku Zafrul turut melahirkan rasa terima kasih beliau kepada Laos, Pengerusi ASEAN tahun ini, atas penganjuran Mesyuarat Majlis AEC ke-24 dan pelbagai mesyuarat sepanjang tahun.
Beliau berkata Malaysia, sebagai Pengerusi akan datang, akan berusaha meneruskan kemajuan yang dicapai oleh Laos dan Pengerusi ASEAN sebelumnya.
“Sebagain Pengerusi ASEAN, kami akan berusaha mengemudi rantau ini ke arah agenda pasca 2025 meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan usaha bersama kita untuk meletakkan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar menjelang 2030,” katanya. – BERNAMA