UNISEL Sertai MTUN, Buka Lebih Banyak Peluang Pembelajaran Untuk Generasi Muda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengiktirafan UNISEL sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dapat memperluaskan peranannya dalam bidang tersebut.

Menurut beliau ia sekaligus membuka lebih banyak peluang pembelajaran dan kemahiran untuk generasi muda.

“Saya telah mengumumkan bahawa UNISEL secara rasminya diiktiraf sebagai salah sebuah universiti dalam Malaysian Technical University Network (MTUN), menjadikannya universiti keenam yang menyertai rangkaian ini.

“Saya amat menyokong usaha ini, selari dengan matlamat saya menjadikan Bagan Datuk sebagai hab pendidikan yang akan membuka lebih banyak peluang kepada warga setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran di Facebook, berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Hari Terbuka Malaysia Madani, UNISEL Depani dan Kelapa Festival Bagan Datuk 2024 di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk.

Melalui majlis tersebut UNISEL turut mengambil langkah proaktif dengan membuka reruai khas bagi memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat institusi pendidikan ini.

Dalam pada Presiden UMNO itu turut sama sama berkata penganjuran Kelapa Fest pula menonjolkan kreativiti usahawan tempatan yang mengambil peluang untuk mengetengahkan pelbagai produk berasaskan kelapa, termasuk makanan, minuman dan kraftangan unik.

Menurut beliau inisiatif sebegini bukan sahaja menyokong ekonomi tempatan, malah mempamerkan potensi besar sektor pertanian di kawasan ini.

“Semoga acara-acara seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar ianya dapat memberikan manfaat kepada bukan sahaja masyarakat di Bagan Datuk malah seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Kehadiran kita pada hari ini adalah bukti usaha kita dalam memperkasa komuniti melalui dua elemen penting iaitu pembangunan sumber manusia dan pemanfaatan potensi ekonomi berasaskan sumber alam.

“Walaupun fokus kedua-dua acara ini berbeza, namun matlamatnya tetap satu iaitu untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Bagan Datuk,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.