PTPTN Komited Terus Perkasa Budaya Menabung – Norliza

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menekankan bahawa Teras Pertama Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 ialah ‘Menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia’ dengan misinya untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian.

Ujarnya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, ia adalah selari dengan fokus utama PTPTN dalam memupuk amalan menabung

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada PTPTN atas kejayaan menganjurkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 buat kali ke-7.

“Sempena Ulang Tahun Simpan SSPN ke-20, saya juga mengucapkan terima kasih kepada para pendeposit Simpan SSPN atas kesetiaan dan sokongan semua. Semoga Simpan SSPN terus dekat di hati masyarakat dan terbang tinggi setinggi impian anak-anak,” katanya pada pelancaran BMS SSPN 2024 baru-baru ini.

Katanya, penganjuran BMS 2024 memasuki tahun ketujuh sejak 2018 merupakan satu inisiatif pemerkasaan penabungan dipelopori PTPTN, yang bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi.

Norliza berkata, perancangan kewangan tepat secara tidak langsung disifatkan dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman untuk meneruskan pendidikan.

“Justeru PTPTN menyasarkan BMS kali ini untuk menerima jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta dan saya yakin dapat dicapai dengan sokongan serta kerjasama pelbagai pihak di samping strategi promosi yang dilaksanakan.

“Pada masa sama, Simpan SSPN juga menawarkan keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.