Para SUKMA: Kerajaan Negeri Pahang Naikkan Insentif Pemenang Pingat Emas
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk menaikkan insentif para pemenang pingat emas yang telah menyertai Para SUKMA 2024, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, atlet Para SUKMA Pahang telah berjaya memperoleh 29 pingat dengan 15 daripadanya emas, lima perak dan sembilan gangsa serta menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet yang telah menyertai Para SUKMA XXI Sarawak 2024 pada 22 hingga 28 September lalu.
“Secara keseluruhannya atlet Para SUKMA Pahang telah berjaya memperoleh 29 pingat dengan 15 pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa serta menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan.
“Malah, apa yang membanggakan, mereka juga telah berjaya melepasi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, insentif pemenang pingat emas Para SUKMA telah dinaikkan kepada RM6,000 manakala untuk pingat perak dan gangsa, masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000.
“Oleh itu, atas kejayaan ini, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju untuk menaikkan insentif pingat emas atlet Para SUKMA daripada RM5,000 kepada RM6,000, sama seperti yang diberikan kepada atlet SUKMA sebelum ini.
“Selain itu, insentif bagi pemenang pingat Perak ialah RM3,000 dan pingat Gangsa ialah RM2,000.
“Syabas kepada Kontinjen Para SUKMA Pahang yang diterajui Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khairulnizam Mohd Zuldin atas pencapaian yang membanggakan ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para atlet Negeri Pahang untuk menjadikan pengalaman di Sarawak sebagai satu pembakar semangat bagi menghadapi Para SUKMA pada tahun 2026.
“Semoga kejayaan yang diraih oleh atlet Para menjadi inspirasi kepada semua pihak hasil daripada ketekunan dan semangat juang yang luar biasa.
“Teruskan usaha ini dan jadikan pengalaman di Sarawak sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih besar terutamanya dalam menghadapi Para SUKMA XXII di Selangor pada tahun 2026,” katanya lagi.
Untuk rekod, Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang telah berlangsung dari 22 hingga 28 September 2024 lalu melibatkan 10 jenis sukan dan 328 acara di tempat-tempat sekitar Kuching. – UMNO Online