RUU Keselamatan Dalam Talian: Kerajaan Komited Pastikan Kesejahteraan Rakyat Terjamin – Azalina

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin melalui Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mempengerusikan Mesyuarat Ketetapan Dasar untuk RUU tersebut pada Khamis.

“Saya dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah mempengerusikan Mesyuarat Ketetapan Dasar bagi RUU Keselamatan Dalam Talian yang Insya-Allah akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

“Mesyuarat telah diberikan penerangan yang terperinci berkaitan dengan kandungan RUU ini setelah proses libat urus menyeluruh dilaksanakan bersama semua pihak berkepentingan selama lebih dari enam bulan bagi memastikan ianya merangkumi semua aspek ruang dalam talian.

“Saya dan Fahmi ingin mempertegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam hal ini untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin. Mesyuarat dihadiri oleh wakil-wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO turut berpeluang untuk menyaksikan filem ‘Takluk: Lahad Datu’ dan menzahirkan rasa hormat terhadap keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman mati kepada pengganas terlibat.

“Saya menghormati keputusan mahkamah kekalkan hukuman mati kepada pengganas yang menyerang Lahad Datu pada 2013, mengambil kira perbuatan mereka menodai kedaulatan negara. Ia menyebabkan ramai anggota keselamatan kita gugur dengan sangat menyayat hati.

“Kini mereka kemukakan pula tuntutan palsu ke atas Malaysia. Menyentuh kejadian Lahad Datu, saya sarankan rakyat Malaysia untuk menonton filem ‘Takluk: Lahad Datu’ yang diinspirasikan dari kisah sebenar untuk lihat sendiri dan memahami apa yang terjadi pada waktu itu,” katanya.

Pada Ogos media melaporkan, RaUU Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.

Menurut Azalina, pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah bawah Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

RUU tersebut bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku termasuk melibatkan kanak-kanak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.