Pasca-PRK: Pemimpin Utama Main Peranan Penting Kekalkan DUN Mahkota – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali memuji kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang berusaha demi mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini.

Menurut beliau, kemenangan ini tidak mungkin dicapai tanpa peranan penting pemimpin-pemimpin utama parti, negeri dan juga bahagian-bahagian seluruh negara.

“Kita juga tidak boleh nafikan watak-watak penting dalam menampilkan kemenangan di Mahkota seperti Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan semua pimpinan UMNO/BN memainkan peranan yang penting bagi menggerakkan keghairahan rakyat Mahkota untuk memilih kestabilan bukan sahaja di DUN berkenaan bahkan di Johor secara keseluruhannya.

“Penting untuk diingat juga, signal kemenangan berganda ini perlu diwaspadai. Rakyat akan menghukum mana-mana parti politik yang hanya membakar retorik keagamaan sempit dan kepuakan melampau. Justeru, kemenangan berganda ini perlu dicermati dengan penuh insaf.

“Rakyat mula memberikan kepercayaan kepada BN yang sedang menumpukan soal gagasan pembinaan negara bangsa yang stabil. Dalam masa sama, watak-watak penting yang menyumbang dalam melaksanakan gagasan tersebut juga amat signifikan dalam menyumbang kemenangan BN di Mahkota,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, BN telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan majoriti yang berganda.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.