Delegasi BN Ke China: Input menarik, Rapatkan Persahabatan Dua Hala
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) Ke China sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara tembok besar itu memberikan pelbagai input yang cukup menarik selain pelbagai perkara yang memberi manfaat kepada delegasi yang hadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang yang juga Ketua Wanita UMNO Tanjung Malim, Salina Samsudin berkata umumnya pelbagai teknologi terkini dapat dilihat secara lebih dekat selain daripada aspek pendidikan teknikal yang diberi keutamaan oleh negara tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pimpinan parti yang telah memilih saya untuk menjadi sebahagian daripada ahli delegasi BN ke China sempena 50 tahun hubungan Malaysia dan China baru-baru ini.
“Walaupun jadual yang yang ketat dan perjalanan yang memenatkan, namun ilmu serta pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh amat berbaloi malah memberi peluang kepada kami untuk melihat senario sebenar secara lebih dekat.
“Salah satu perkara yang paling menarik perhatian saya adalah tentang penetapan dan pengurusan polisi negara tersebut. Walaupun pada rakyat negara lain mungkin merasakan ia agak ketat, tetapi hasilnya sangat memberi impak yang positif kepada rakyat dan pembangunan negara mereka,” katanya kepada UMNO-Online.
Berkongsi pengalamannya sepanjang berada di negara berkenaan menerusi kunjungan tersebut, beliau seterusnya menambah lawatan ke beberapa tempat industri serta penggunaan teknologi terkini serta aspek pendidikan amat menarik.
“Tidak hairan China sekarang sedang menerajui ekonomi dunia. Kami turut dibawa melihat beberapa industri dengan penggunaan teknologi yang terkini. Bukan setakat ‘electronic vehicle’, mereka telah bangunkan ‘automotive vehicle’, kenderaan tanpa pemandu, smart city, smart building dan sebagainya.
“Pembangunan ekonomi mereka saling berkait…contoh pembangunan smart city yang berkait dengan smart building, automotive vehicle dan lain-lain. Pasti mereka telah membuat perancangan pembangunan jangka panjang yang sangat teliti,” ujarnya.
Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, BN baru-baru ini berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC)
Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online