Penolakan MoU: Tindakan Pembangkang Yang Menunjukkan Sikap Politik Sempit – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Penolakan pembangkang terhadap cadangan Kerajaan Perpaduan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara mentah-mentah boleh dilihat sebagai tindakan yang menggambarkan sikap politik yang kurang terbuka dan sempit.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Saifullah Ali berkata peranan MoU yang diadakan oleh Kerajaan Perpaduan berupaya meningkatkan kestabilan politik serta dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

“MoU ini jika diterima, berpotensi meningkatkan kestabilan politik negara dan memastikan tumpuan diberikan kepada isu-isu penting rakyat, terutama di saat ketidaktentuan ekonomi.

“Namun, tindakan pembangkang yang menolaknya dengan angkuh membayangkan bahawa mereka lebih mementingkan agenda politik sendiri berbanding kepentingan rakyat secara menyeluruh,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Menurut beliau,langkah-langkah ini akan menganggu sokongan rakyat terhadap usaha perpaduan politik sekaligus mencetuskan ketidaktentuan yang lebih besar dalam suasana semasa.

“Tindakan ini berisiko memperluaskan jurang politik dan menimbulkan lebih banyak ketidaktentuan. Sebagai contoh, sokongan rakyat kepada usaha-usaha perpaduan politik di kalangan parti-parti yang memerintah mungkin akan terganggu.

“Kajian juga menunjukkan bahawa 58 peratus rakyat mahukan kestabilan politik sebagai faktor utama untuk memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik, sesuatu yang boleh diperoleh melalui perjanjian persefahaman,” katanya lagi.

Oleh itu kata Saifullah lagi, keputusan pembangkang ini mungkin akan dilihat sebagai sikap yang membelakangi aspirasi rakyat.

Terdahulu dilaporkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak draf Memorandun Persefahaman (MoU) tersebut dan ini mencerminkan ketidakmatangan mereka memahami isi hati rakyat dan menstabilkan negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.