Pengerusi JPKK, JKDM Sabah Diminta Laksana Tugas Dengan Telus Dan Cekap Demi Rakyat

SIPITANG, 2 Okt – Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK) dan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) diingatkan agar melaksanakan amanah untuk komuniti di kawasan masing-masing dengan telus, cekap dan penuh tanggungjawab.

Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berkata peranan JPKK dan JKDM merupakan agen yang akan membawa perubahan dari segi kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan di setiap kampung yang diwakili.

“Tugas yang diberikan ini merupakan satu amanah serta tanggungjawab besar kepada masyarakat mereka wakili selaras dengan fungsi JPKK yang berperanan untuk mengurus dan mentadbir sesebuah kampung.

“Sementara JKDM bertindak menyelaras program sosioekonomi dan keusahawanan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan pengerusi JPKK dan JKDM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Sinduman di Dewan Serbaguna Sipitang baru-baru ini.

Dalam pada itu Abd Rahman yang juga Pengerusi Penasihat Pusat GiatMARA Sipitang turut menggesa agar semua pengerusi JPKK dan JKDM dapat membina serta memperkukuhkan komunikasi, hubungan baik dan kerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bagi memastikan urus tadbir berkaitan pembangunan, keselamatan, adat, budaya dan program-program kerajaan lebih lancar dan berkesan.

“Hubungan serta komunikasi yang baik dan berkesan akan mempermudahkan segala bentuk bantuan khidmat nasihat terutamanya yang membabitkan masalah penduduk yang diwakili,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Abd Rahman juga meminta pengerusi JPKK di setiap kampung agar dapat menyediakan profail kawasan masing-masing bagi memudahkan segala urusan terutamanya berkaitan dengan isu-isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan adanya profail kampung ini, ia akan menjadi bahan rujukan bagi mana-mana agensi kerajaan terutamanya pejabat daerah mengenal pasti keperluan penduduk kampung yang diwakili,” katanya.

Abd. Rahman juga turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluluskan penubuhan JPKK dan JKDM untuk daerah Sipitang.

Pada majlis tersebut seramai 72 orang pengerusi JPKK dan JKDM menerima watikah pelantikan mereka masing-masing. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.