Teknologi AI: MITI Sasar 3,000 Kilang Pintar Menjelang 2030
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030 yang berteraskan kepada teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan Google sebanyak USD2 bilion di Elmina, Selangor akan mewujudkan 26,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan pertama Google di Elmina, Selangor adalah permulaan pelaburan Google. Sebanyak USD2 bilion dilaburkan dalam pusat data dan wilayah awan yang dijangka menjana pertumbuhan KDNK USD 3.2 bilion.
“Ia akan mewujudkan 26,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu sepanjang lima tahun akan datang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, komitmen berterusan Google ini akan membantu negara meningkatkan tenaga kerja tempatan di samping memastikan masa depan digital lebih inklusif.
“Komitmen berterusan Google untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan melalui program seperti ‘Gemilang’ dan ‘Future Skills For All’ juga akan memastikan masa depan digital yang lebih inklusif untuk tenaga kerja Malaysia.
“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030), MITI menyasarkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030, dipacu oleh teknologi canggih seperti AI, data raya, dan pembelajaran mesin.
“Pusat data terkini Google akan memainkan peranan penting dalam membolehkan visi ini dicapai,” katanya lagi. – UMNO Online