‘Benarkan Kelebihan Menang Di Mahkota Itu Dinikmati Rakyat, Bukan Tuntutan Kuasa Pimpinan’ – Hafiz

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Hafiz Ariffin berharap agar rakyat dibenarkan untuk menikmati kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan tidak menjadikannya sebagai punca tuntutan kuasa para pemimpin.

Jelasnya, kenyataan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda mengenai tuntutan perkongsian kuasa di Johor adalah ‘lebih lajak daripada laju’.

“Saya terpanggil untuk memberi komen terhadap kenyataan Hasbie Muda. Pandangan saya ini ikhlas, tidak mengurangkan sedikit pun rasa hormat sebagai rakan dalam keluarga Perpaduan.

“Ramai rakan-rakan di Johor, merasakan kenyataan Hasbie seperti ‘lebih lajak dari laju’. Tidak sampai 24 jam selesai PRK Mahkota, terus ada tuntutan berkenaan perkongsian kuasa.

“Sewaktu kita bantu Amanah di Pulai dan Simpang Jeram… seluruh keluarga BN hadir dan buat sehabis baik, sehingga menang. Tiada apa-apa tuntutan pun dibuat selepas memenangkan Amanah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, apa yang lebih penting adalah hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat serta mengutamakan ruang bicara kerjasama antara dua parti.

“Jangan nanti orang lihat dan merasakan ada sifat ‘gelojoh’ dalam hasrat yang diajukan.

“Apa yang lebih penting adalah hubungan antara negeri dan pusat baik. Ruang bicara dan kerjasama antara dua parti juga baik. Itu yang patut diutamakan.

“Benarkan kelebihan menang di Mahkota itu dinikmati oleh rakyat, bukan tuntutan kuasa oleh pimpinan parti yang menang,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri Johor perlu diwujudkan bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, semalam.

Hasbie Muda berkata, pihaknya mengharap langkah seterusnya selepas berjaya mengalahkan Perikatan Nasional (PN) di DUN Mahkota adalah mewujudkan Kerajaan Perpaduan selari dengan Persekutuan di Johor.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.