Azalina Alu Sinergi Kerjasama Malaysia-Hong Kong Dalam Aspek Timbang Tara
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Malaysia mengalu-alukan sinergi kerjasama bersama Hong Kong dalam aspek timbang tara, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, terdapat persamaan dalam sistem perundangan yang diamalkan oleh Malaysia dan Hong Kong iaitu ‘Common Law’.
“Saya telah menghadiri seminar bertajuk ‘Hong Kong: The Common Law Gateway for Malaysian Businesses to China and Beyond’ atas undangan rakan sejawat saya, TYT Paul Lam, Setiausaha Kehakiman Hong Kong SAR dan turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada majlis tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
“Dalam ucapan, saya mengalu-alukan sinergi kerjasama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam aspek timbang tara khususnya di rantau Asia kerana persamaan sistem perundangan yang diamalkan iaitu sistem ‘Common Law’.
“Selain itu, kerjasama ini bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Republik Rakyat China yang menyambut ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar komuniti kedua-dua negara meneroka pelbagai peluang ditawarkan dengan kelebihan sistem kehakiman Malaysia yang bebas.
“Justeru, saya menyeru komuniti perniagaan Malaysia untuk meneroka pelbagai peluang yang ditawarkan Hong Kong dan begitu juga sebaliknya bagi komuniti perniagaan Hong Kong, turut meneroka Malaysia sebagai hub perdagangan pilihan di Asia Tenggara dengan kelebihan sistem kehakiman Malaysia yang bebas serta mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang efektif.
“Pada majlis tersebut, saya dan TYT Paul Lam juga turut menyaksikan pemetraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dengan beberapa institusi timbang tara Hong Kong iaitu SCIA Hong Kong dan eBRAM.
“Lawatan ini merupakan lawatan timbal balik susulan lawatan kerja saya ke Hong Kong pada awal Ogos yang lalu. Turut hadir ialah CEO Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Datuk Almalena Sharmila Johan, ,” katanya lagi. – UMNO Online