Golongan Belia Perlu Terlibat Secara Langsung Dalam Agenda Pembangunan Negara – Jeffery Nor

PUTATAN, 26 Sept – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, golongan belia merupakan penyambung warisan kepimpinan negara, kerana itu mereka perlu terlibat secara langsung dan aktif dalam urusan serta agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, sebagai pemimpin pelapis golongan belia perlu melangkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran selain memiliki nilai moral, akhlak dan peribadi yang unggul berlandaskan nilai murni.

“Ciri-ciri ini amat penting bagi golongan belia yang menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan dan dalam peringkat awal golongan belia perlu terlibat secara aktif dalam urusan dan agenda pembangunan negara sama ada melalui NGO atau komuniti setempat,” katanya ketika berucap di majlis Ramah Belia dan Beliawanis di kampung Tebungon dekat sini, baru-baru ini.

Jeffery berkata, selaras dengan pengiktaran kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam agenda pembanguna negara, kerajaan telah memutuskan pelaksanaan Undi 18 pada Feb 2022 dan Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022 buat pertama kalinya pengundi muda 18 diberikan peluang mengundi dalam sistem demokrasi negara.

“Sudah tentu pelaksanaan Undi 18 secara langsung meningkatkan peranan dan tanggunjawab generasi muda untuk mengubah landskap politik negara,” katanya.

Sehubungan itu, Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berharap golongan belia memanfaatkan peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang benar-benar menjaga rakyat dan negara demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat berpanjangan.

“Dalam konteks ini, UMNO/BN telah pun melakukan refomasi bagi memberikan peluang kepada golongan muda bukan sahaja menjadi pemilih malah diangkat sebagai calon pilihan raya sebagaimana yang terkini PRK Nenggiri, Kelantan dan PRK DUN Mahkota Johor dengan mengangkat calon muda sebagai calon BN,” katanya.

Menurut Jeffery langkah BN itu juga mempamerkan persepsi bahawa parti itu mengiktiraf golongan muda dan sudah semestinya mengangkat suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi bagi memahami kehendak serta keperluan golongan mereka.

Jeffery juga turut mengingatkan golongan muda khususnya mereka yang sudah mencapai umur 18 tahun agar menggunakan hak mereka untuk mengundi menjelang PRN ke-17 akan datang.

Katanya golongan belia perlu bijak dan matang memilih kerajaan serta jangan terpedaya dengan helah politik yang hanya untuk kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan kaum belia.

“Banyak isu-isu yang dihadapi oleh golongan belia di negeri ini, antaranya peluang-peluang pekerjaan yang gagal disediakan oleh kerajaan negeri, memaksa kaum belia terpaksa berhijrah ke lain-lain negeri terutama di Semenanjung Malaysia untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Menurut Jeffery, isu-isu ini adalah antara perkara utama yang menjadi fokus UMNO/BN dan sekiranya diberikan peluang untuk menerajui kerajaan negeri pada PRN-17 akan datang maka agenda untuk memperkasakan golongan belia dalam pelbagai bidang pendidikan, kemahiran, ekonomi dan sebagainya merupakan agenda utama UMNO/BN. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.