MITI: MPC Sedang Rancang Reformasi Permit Pembinaan, Jenis Kegunaan Tanah

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang merancang untuk melaksanakan reformasi permit pembinaan dan ubah jenis kegunaan tanah bagi mempercepatkan proses pembangunan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, insentif untuk menarik minat pelabur melabur di negara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP), pada Rabu.

“Apa antara perkara yang pelabur nak tahu sebelum melabur? Apa insentif yang mereka boleh terima. Kita nak tarik pelabur, tapi kita juga nak pastikan insentif itu dapat menarik pelaburan yang bersesuaian seperti pelaburan dalam teknologi maju.

“Itulah antara isu yang dibincangkan di dalam JTPPP. Melangkah ke hadapan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan merangka insentif yang lebih menarik untuk sektor keutamaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berharap agar semua pihak komited untuk meneruskan agenda pembangunan ekonomi negara.

“Pelabur juga mahu proses yang mudah, tanpa kerenah birokrasi. Contohnya dalam urusan pembelian dan ubah guna tanah. Sehubungan itu, MPC sedang merancang reformasi urusan permit pembinaan dan ubah jenis kegunaan tanah bagi mempercepatkan proses pembangunan.

“Bersama-sama, kita komited dalam meneruskan agenda pembangunan ekonomi mampan, selari dengan matlamat negara ke arah masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.