Puteri UMNO Kedah Santuni Mangsa Banjir, Beri Bantuan Keperluan Asas

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Prihatin dengan nasib mangsa banjir, Pergerakan Puteri UMNO Kedah menggerakkan Misi Sukarelawan Banjir yang diadakan pada Isnin lalu.

Dikemudi Ketua Puteri UMNO Kedah Nuraini Yusoff, ia disertai oleh 30 sukarelawan yang menfokuskan kepada pemberian barangan keperluan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tajar, Alor Setar.

Antara bantuan yang diedarkan adalah kit penjagaan diri seperti berus dan ubat gigi, syampu, sabun mandi, sikat, tuala wanita, bantuan air mineral dan makanan ringan seperti snek serta roti.

Sementara itu turut diadakan pertandingan mewarna bersama anak-anak mangsa banjir bagi memberikan keceriaan kepada kanak-kanak tersebut.

Edaran pek makanan iaitu nasi ayam juga turut diedarkan kepada mereka yang sudah pulang ke rumah di Jalan Pegawai dan Alor Merah salah sebuah kawasan di Alor Setar dan Kuala Kedah.

Sehingga kini keadaan banjir di Kedah makin pulih apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu semakin turun kepada 2,942 membabitkan 939 keluarga setakat jam 4 petang pada Rabu.

Berdasarkan Info dikeluarkan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah tersebut menurun berbanding 5,747 orang daripada 1,838 keluarga setakat jam 5.04 petang pada Selasa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.