Delegasi BN Ke China Perkukuh Hubungan Sedia Ada, Rancakkan Jalinan Dua Hala

KUNMING, 25 Sept – Wanita UMNO melihat kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) Ke China sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara tersebut adalah satu program yang amat baik.

Exconya, Datuk Habibah Mohd Yusof berkata program seumpama itu yang turut disertai oleh beberapa pimpinan BN yang lain boleh mengharmonikan lagi hubungan yang sedia terjalin selama ini.

“Alhamdulillah, saya melihat program ni adalah satu program yang sangat baik. Pertama, selain daripada kita mengharmonikan hubungan diplomatik yang sedia terjalin selama ini, kita juga boleh melihat dari sudut ekonominya yang berkembang pesat.

“Saya dah datang ke China dah tiga kalilah, tapi dah lama. Kali ni saya datang, terlalu banyak perubahan yang saya lihat dah jauh ke depan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Habibah seterusnya menambah, banyak perkara boleh diambil sebagai panduan dan apa yang penting adalah untuk membangunkan lagi Malaysia agar setanding dengan negara-negara maju.

“Kita boleh lihat macam mana kerajaan mereka membina negara hari ini. Dengan populasi mereka, kalau tak silap saya populasi mereka adalah populasi yang tertinggi di dunia iaitu antara tiga negara, China, India dan juga Indonesia.

“Dalam keadaan kadar populasi yang tinggi, tapi ekonomi mereka boleh berkembang begitu baik sekali, meledak sekali. Saya rasa, satu lagi yang saya nampak, kita kena ada semangat cintakan tanah air sebagaimana mereka terapkan semangat itu kepada rakyat mereka.

“Saya perhatikan cara mereka bekerja, cara mereka menghargai tanah air mereka, taat setia mereka kepada tanah air mereka cukup tinggi,” ujarnya.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, Barisan Nasional (BN) berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC)

Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.