Persatuan Kebudayaan Kaum Berperanan Penting Perkukuhkan Perpaduan – Bung Moktar

SIPITANG, 22 Sept – Persatuan Kebudayaan kaum memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan perpaduan di negara ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kesepaduan nasional merupakan inti kekuatan dan keamanan negara dan ini dapat dicapai melalui ikatan perpaduan antara seluruh rakyat Malaysia.

Sehubungan itu menurutnya, formula perpaduan bagi negara dengan masyarakat majmuk seperti Malaysia terletak pada kesatuan rakyat pelbagai kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia kita perlu hidup saling memahami, bertoleransi, menerima perbezaan satu sama lain, memahami kontrak sosial yang menjadi dasar kesepaduan rakyat Malaysia serta menghormati hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Irau Rayeh Lundayeg Sabah kali ke-16 di Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah dekat sini kelmarin.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam kepada sejarah negara dan ia boleh memberi iktibar kepada rakyat dan pemain politik betapa penting keharmonian kaum perlu terus dipelihara dan dipertahankan.

Selain itu, menurut Bung, isu-isu yang menyentuh sensitiviti ras, etnik, agama, kepercayaan dan budaya perlu dielakkan agar tahap keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini berkekalan kerana ia merupakan eleman penting untuk menjana kemajuan negara.

“Kita bimbang isu-isu negatif tersebar luas tanpa kawalan di media sosial lantas mencetuskan masalah perkauman termasuk beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa individu pemimpin politik yang berbaur sentimen kenegerian. Ini boleh menjejaskan integrasi nasional antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurut Bung lagi, keharmonian negara mesti dikekalkan dengan melibatkan peranan semua pihak termasuklah persatuan-persatuan kebudayaan kaum.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut memuji usaha yang dilakukan oleh Persatuan Lundayeh Sabah di bawah kepimpinan Presidennya Datuk Pengiran Lalung atas kesungguhan menganjurkan program tersebut yang bukan sahaja menurut beliau menjadi platfrom untuk memperkukuhkan perpaduan iaitu bukan sahaja dikalangan suku kaum Lundayeh namun melibatkan suku kaum lain juga.

“Saya berharap program ini akan menjadi usaha berterusan yang bukan sahaja sebagai wadah memperkukuhkan perpaduan kaum, namun dalam masa yang saya ia dapat mempromosikan kebudayaan, adat rasam, makanan tradisi dan kraftangan masyarakat Lundayeh kepada masyarakat luar khususnya pelancong asing,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.